CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, January 19, 2011

Bertafakur Sebelum Tidur…


Setiap malam, sebelum kita merebahkan diri, sebelum kita melelapkan mata, sebelum kita diulit mimpi..bertafakurlah sebentar dan cuba tanya-tanyakan pada diri kita..apakah sudah meningkat ketaqwaan kita pada hari ini..? Apakah sudah meningkat amalan solehku pada hari ini..? Putar dan putarkan pada kotak fikiran kita.. Imbas kembali pada setiap gerak langkah sepanjang siang tadi.. Bandingkan amalan semalam dengan amalan hari ini.. Seandainya amalan hari ini semakin baik, itu tandanya sudah ada peningkatan taqwa dalam diri kita.. Tidak kira amalan itu berkaitan dengan HablumminAllah atau Hablumminannas.. Bukti ketaqwaan semakin meningkat bukan pada banyaknya kerja yang kita lakukan pada hari itu tetapi kesungguhan dan keikhlasan kita dalam melakukan setiap tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T.. Jika taqwa kita sudah meningkat, bererti kesolehan kita juga meningkat kerana gabungan iman dan taqwa melayakkan seseorang lelaki atau wanita itu bergelar soleh atau solehah.. Namun begitu, sejauh mana kita telah mencapai darjat lelaki atau wanita solehah itu..? Oleh itu, marilah kita suluh diri kita..
            Di antara ciri-ciri lelaki soleh atau wanita solehah itu ialah: Hati kita mestilah sentiasa terpaut (teringat) kepada Allah S.W.T.. Kita mestilah merasakan segala ketaatan dan amal ibadah kita itu, bukan daripada diri kita.. Sebaliknya itu adalah kurniaan Allah kepada diri kita.. Apabila mendapat nikmat dan kesenangan, kita tidak leka dengannya tetapi, hati kita terus terkenang kepada Allah yang memberi nikmat.. Sehingga dengan itu, kita tidak pernah melupakan perintah syukur sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah,ayat 172 yang bermaksud: “ Bersyukurlah kamu kalau betul engkau menyembahNya”.. Apabila di datangi dengan berbagai ujian tidak kiralah samada ujian besar atau kecil..
            Bagaikan orang yang terkena kejutan elektrik, hati kita mestilah terus terkenang-kenang dosa yang telah dilakukan.. Apakah ujian demi ujian yang datang itu untuk menghapus dosaku..? Atau untuk mendidikku agar lebih soleh atau solehah..? “ Wahai Tuhanku, kalau beginilah hukumanMu untukku di atas dunia ini, aku rela menerimanya dari di azab oleh api neraka yang amat pedih.. Ampunkan dosa-dosa hambaMu ini, Ya Allah..” Bila hati telah berkata begitu, tidaklah timbul rasa ingin mengadu ke sana ke mari atau mengeluh di atas kesusahan.. Redha atas setiap ujian yang datang.. Kita mestilah tidak berani menyanggah atau mengkritik Allah S.W.T.. Kita mestilah yakin dengan keadilan dan kebijaksanaan Allah di dalam menentukan setiap hal yang berlaku.. Atas dasar itu, kita menerima berbagai rintangan dan halangan itu dengan lapang dada.. Malah, hati yang sudah cinta kepada Allah itu menjadikan setiap ujian yang datang tidak dirasakan masalah lagi..
            InsyaAllah hati kita dapat berhibur dengan mehnah yang datang kerana kita tahu itulah kasih sayang dan perhatian Allah S.W.T kepada kita.. Semakin berat ujian yang menimpa kita, maka sekencang itulah juga ibadah kita kepada Allah S.W.T.. Semoga diri kita semakin dekat dengan Allah, solat bertambah khusyuk dan semakin lazat kita bermunajat kepada Allah S.W.T.. Dalam sepi malam, kita bangun mengadap Allah S.W.T, memohon dibukakan tabir keampunan dan kerahmatan.. Pada siang harinya, disibukkan diri dengan kerja-kerja yang bermanfaat pada diri kita dan masyarakat, sementara segala masalah yang dihadapi hendaklah cuba dilupakan.. Tidak sedikit pun melayan kejahatan-kejahatan nafsu dan prasangka buruk terhadap sesama muslim..kerana kita tahu nafsu dan syaitan laknatullah tidak pernah berputus asa untuk mengajak kepada kemungkaran.. Allah S.W.T telah mengingatkan kita dalam firmannya: “ Sesungguhnya, nafsu itu sentiasa mengajak kepada kemungkaran”..

No comments:

Post a Comment